Saturday, August 15, 2009

Episod 27- Hanya Kau di Hati

Nizza yang berada di perpustakaan telah merancang sesuatu bersama dengan kawan-kawannya. Masing-masing menerima arahan dengan rela kerana Nizza mampu membayar mereka. Kemudian mereka berpisah sebelum kedatangan Zasmond.

Dalam masa setengah jam, Zasmond sampai di tempat di mana Nizza duduk dan Nizza berpura-pura tidak sedar.

“Nizza, nizza..”, Nizza berpura-pura tidur sambil menekup mukanya dengan tangan.

“Nizza, are u ok?”, tanya Zasmond lagi sedikit risau apabila Nizza tidak membalas.

“Zas..sakit Nizza datang lagi..”,kata Nizza dalam nada yang perlahan. Dia tidak mahu mereka menjadi perhatian orang lain.

“Nizza sakit apa? Sejak bila? Dah makan ubat ke?”, tanya Zasmond bertalu-talu.

“Ulcer perut disebabkan gastrik, dua tahun yang lalu, ubat Nizza dah habis.”

“Kalau macam tu, Zas bawa Nizza ke klinik, tapi Nizza kena bertahan dulu, Zas nak telefon kawan Zas untuk pinjam kereta.”

Zasmond ke hujung rak ke tempat yang agak sunyi untuk menghubungi kawannya untuk menyewa kereta. Sementara itu, kawan Nizza yang berada tidak jauh dari tempat Nizza duduk bergegas turun ke luar perpustakaan untuk menelefon Luna dan mahu dia segera datang ke purpustakaan dengan alasan Nizza memerlukan bantuannya. Luna pada mulanya hairan tetapi dia rasa senang hati kerana Nizza akhirnya menerima dia.

Semasa dia sampai ke perpustakaan, dia ternampak Nizza dipapah keluar oleh orang yang amat dia kenali. Dia kaku berdiri dan hanya melihat Zasmond memapah Nizza masuk ke dalam kereta. Kemudian Luna terdengar suara dari belakang yang sebenarnya adalah kawan Nizza yang mengatakan mereka mempunyai hubungan rapat. Luna berasa hatinya terguris, dan mula keliru, adakah Zasmond menjauhkan dirinya dari dia disebabkan suka pada adik angkatnya sendiri? Kalau Nizza mahukan bantuannya kenapa Zasmond juga datang? Adakah sebenarnya Nizza sengaja mahu dia melihat Zasmond memapahnya? Atau Zasmond sendiri mula risaukan Nizza dari dia? Luna melihat kereta yang dipandu zasmond berlalu membawa Nizza pergi dan terdengar lagi suara dari belakang yang mengatakan Zasmond sudah banyak kali dilihat bersama dengan Nizza beberapa hari ini. Oleh kerana tidak mahu mendengar suara-suara itu, Luna bergegas beredar balik ke asrama.

Luna hendak menangis tetapi air matanya tidak mahu keluar. Dia tidak mahu percaya akan apa yang didengar dan dilihatnya selagi tidak bersemuka dengan Zasmond dan mendengar penjelasan darinya. Dia tahu pasti Nizza merancang sesuatu agar hubungan mereka renggang. Oleh itu dia harus berhati-hati ketika bercakap dengan Zasmond nanti.

Sementara itu, Nizza yang berada di klinik mahu Zasmond menunggu di kereta sahaja kerana dia tidak mahu Zasmond tahu yang dia sebenarnya tidak sakit. Zasmond pula hanya mengikut kehendak Nizza. Dia tidak tahu dia sebenarnya ditipu. Ketika menunggu Nizza, dia membelek-belek buku sastera kepunyaan Nizza dan dia terkejut kerana ada beberapa keping gambar yang mirip rupa Luna. Gambar itu diambil semasa Luna bersama Nizzam. Gambar yang diambil seakan-akan menampakkan kemesraan diantara Luna dan Nizzam yang sebenarnya diambil pelajar jurusan seni yang diupah oleh Nizza. Zasmond berasa agak marah dengan gambar itu tetapi dia tidak mahu mempercayai bahawa Luna curang padanya.

Setelah beberapa minit, Nizza masuk ke dalam kereta dan terlihat gambar yang disembunyikannya tidak tersusun. Dia melihat Zasmond yang tertunduk di ‘stering’ kereta.

“Zas, kau dah tengok gambar tu? Nizza sebenarnya tidak mahu gambar itu sampai ke tangan Zas tapi Zas harus juga tahu perkara ini. Zas jangan salah faham, gambar ini diberikan oleh seseorang yang Nizza sendiri tak kenal beberapa hari yang lalu, dia suruh Nizza beri pada Zas tapi Nizza sembunyikan kerana tidak mahu Zas salah faham pada Luna. Mungkin gambar itu hanya untuk mempermainkan Zas.”

“Siapa yang nak permainkan saya? Siapa?!”, kata Zas dengan suara yang tinggi mengejutkan Nizza.

“Erm..Nizza tak tahu.”

“Jadi memang benarlah selama ini mereka ada hubungan?”

“Itu Nizza tak tahu, tetapi lelaki dalam gambar ini sama seperti lelaki semalam yang bersama Luna.”

“Maksudnya mereka pernah bertemu sebelum ini? Zas tak sangka Luna macam tu...”

“Janganlah terus membuat andaian, Zas kena tanya Luna dulu.”

“Lupakanlah, Zas malas nak fikir pasal dia..Nizza dah ok? Doktor cakap apa?”, Nizza sedikit terkelu apabila Zas bertanya.

“Oh..erm..ok, doktor cakap sebab Nizza tak makan ikut waktu dan selalu tak makan.”

“Kenapa tak makan? Diet? Kalau macam tu, malam ni Zas belanja Nizza makan, ok?”

“Betul? Kalau Zas belanja, hari-hari Nizza makan.”

“Zas tak kisah nak belanja tapi Nizza lah bayar.”

Mendengar itu, mereka tertawa. Nizza terasa seperti dia sudah mendapatkan Zasmond. Dia begitu gembira kerana rancangannya berjaya. Dia mahu agar Zasmond benar-benar menyingkirkan Luna dari hidupnya.

No comments:

Post a Comment