Sunday, June 28, 2009

Episod 8 - Hanya Kau di Hati

Selepas seminggu berlalu, senarai nama pertukaran pelajar telah pun keluar dan keputusan itu ditampal di papan kenyataan perpustakaan. Semasa Zasmond keluar dari perpustakaan, terdetik hatinya untuk melihat papan kenyataan itu, dan pada ketika itulah matanya tertumpu pada senarai nama yang berjaya diterima untuk tawaran pertukaran pelajar ke beberapa buah negara terpilih. Dia terus melihat kalau-kalau ada nama Luna. Ternyata namanya tersenarai, dia akan berlepas ke kanada pada minggu depan. Terasa hatinya terus tidak bersemangat lalu beredar dari situ.

Kebetulan semasa dia membaca papan kenyataan Luna berada tidak jauh dari situ. Dia terus ke papan kenyataan untuk melihat apa berita terbaru. Rupanya Zasmond melihat senarai nama pertukaran pelajar. Dia berjaya diterima namun dia tidak tahu kenapa hatinya tidak begitu gembira akan hal tersebut, adakaha dia sedih kerana akan meninggalkan keluarga dan bumi Malaysia ini buat sementara waktu atau dia tidak gembira kerana terlihat Zasmond juga agak sedih?

Selepas Isabell dan Suraya mengetahui akan keputusan itu, mereka turut rasa sedih, mulanya mereka gembira kerana kawan mereka berjaya diterima menjadi salah seorang pelajar pertukaran bersama 50 pelajar yang lain. Namun hanya Luna yang mendapat negara kanada kerana bidang yang diceburi ialah undang-undang.

Petang itu, selepas menghadiri taklimat perjalanan pertukaran pelajar ke beberapa universiti luar negara, Luna pergi ke pejabat hal ehwal pelajar untuk mengurus pasportnya yang ada masalah. Hanya tinggal 3 hari saja lagi untuk menyediakan kelengkapan. Namun kerana hujan yang pada mulanya renyai-renyai makin lebat, luna berteduh di sebuah pondok tidak jauh dari perpustakaan. Sementara menunggu hujan reda, luna memakan ‘sandwich’ yang baru dibelinya di kantin sekolah. Sedang luna menikmati makanan untuk mengalas perut, dia disapa oleh seseorang dari belakang. Rupa-rupanya Zasmond yang terlihatnya duduk keseorangan mahu menemaninya.

“Hi Luna...”,Luna agak terkejut lalu melihat ke arah suara itu. Hatinya berdebar melihat Zasmond berdiri kebasahan.

“O Zasmond...duduk lah..nah”, kata Luna sambil memberi tuala kecil pada Zasmond untuk menyeka mukanya yang terkena hujan.

“Terima kasih...”, hanya itu yang Zasmond kata lalu menyeka mukanya perlahan-lahan. Luna menyimpan makanannya yang belum habis. Baginya tidak sopan jika makan didepan orang tetapi tidak memberi. Bukan niatnya tidak berkongsi tetapi dia segan memberi makanan yang sudah dimakannya kepada orang. Dia mengambil tisu lalu menyeka mulutnya. Kebetulan Zasmond mengeluarkan sesuatu dari beg lalu memberinya pada Luna.

“Dari mana kamu dapat? Bukan maksud saya kamu memang datang sini nak beri ini?”, tanya Luna, dia agak hairan seperti kedatangan Zasmond ini memang dirancangnya.

“Minta maaf lah menganggu ‘privacy’ Luna tetapi saya ingin hendak berbual dengan Luna”,katanya lalu membuka tin minuman Luna dan juga dirinya.

“Terima kasih...kamu dari mana?”

“Saya sebenarnya baru keluar dari perpustakaan kemudian saya terlihat Luna berlari ke arah pondok ini..Luna, boleh saya tanya sesuatu?”

“Boleh, tanyalah...”, hati luna bertambah debar dan takut untuk mendengar pertanyaan Zasmond.

“Kalau lah satu hari nanti seorang kawan lama ingin berada di pangkuan Luna, apa Luna akan terima?”

“Bergantunglah siapa orangnya..kenapa tanya, kamu tahukah siapa kawan lama saya?” tanya Luna kehairanan tetapi ada sesuatu di sebalik soalan yang Zasmond berikan.

“Kenal...orangnya tinggi berambut hitam, dia memakai cermin mata, dia selalu memerhatikan Luna, dia pernah merasakan ada hati dengan Luna tetapi dia tidak berani untuk mengatakannya.” Sifat fizikal dan gambaran yang diberikan Zasmond meyakinkan Luna bahawa dirinyalah yang dimaksudkannya. Luna makin berdebar dan berfikir apa yang patut dibalasnya. Dia menyedari Zasmond mula meluahkan isi hatinya pada Luna.

“Zas, itu kamu kah?” tanya Luna, dia tidak mahu berteka teki lagi kerana hatinya sudah cukup berdebar.

“Luna..saya minta maaf kalau bukan ini saatnya atau bukan ini keadaan yang kamu inginkan tetapi sebelum terlambat saya harus mengatakannya juga..”, hati Zasmond juga berdebar-debar, dia takut jika Luna mengatakan tidak dan pasti dia malu untuk bertemu muka dengan gadis di depannya. Dia meneruskan kata-katanya.

“Saya sebenarnya dari awal lagi mempunyai perasaan berbeza dengan Luna, perasaan seperti takut kehilangan, perasaan gembira bertemu dengan Luna, perasaan yang melibatkan hati dan perasaan, dan saya mengaku saya sebenarnya suka pada Luna, suka Luna lebih dari seorang kawan...”, Zasmond berhenti lalu memandang ke arah pokok yang tumbuh di tepi pondok. Luna masih tidak bersuara.

“Luna..saya minta maaf kerana begitu terus terang, tetapi inilah perasaan yang terbuku di hati saya, jika Luna tidak menerima saya katakan saja agar saya tahu saya hanya bertepuk sebelah tangan.”

Zasmond mengambil minumannya lalu meneguk sekali, dia menunggu kalau-kalau Luna berkata sesuatu.

Luna pula hanya memandang minumannya, dia hanya meneguknya sekali selepas Zasmond membukanya.

“Zas...saya sebenarnya begitu takut untuk menerima lelaki dalam hidup saya. Saya bukan hanya takut dikecewakan tetapi juga takut jika selepas saya betul-betul menyayanginya dia tidak akan menghargai saya. Saya pernah laluinya sebelum ini dan saya takut jika ia berulang kembali.”

Luna tahu kata-katanya akan melukakan hati dan perasaan Zasmond tetapi dia tidak mahu peristiwa dulu berulang kembali sehingga dia terlantar di hospital gara-gara ditendang oleh orang yang mahu mendampinginya. Dia takut Zasmond akan berubah dan dia takut dia akan menghadapi situasi di mana perasaan takut selalu ada pada dirinya.

“Luna, saya tidak akan bertanya masa silam kamu dan saya juga tidak mahu masa silam itu menghantui kehidupan masa depan kamu, tetapi saya dengan hati ikhlas dan belum pernah hati ini terluah kepada sesiapa. Saya ikhlas mahu mendekati kamu tetapi jika hati Luna belum dapat terima saya dan seadanya, saya tidak akan memaksa Luna. Apa pun saya harap perjalanan Luna ke kanada selamat pergi dan selamat kembali. Saya pergi dulu.”

Zasmond berlalu begitu sahaja setelah hujan reda meninggalkan Luna yang masih terpaku memandang minumannya. Tanpa disedari air matanya mula menitis, bukan sedih akan masa lalu, bukan juga kerana masa ini tetapi dia sedih kerana dia telah mengecewakan seseorang dengan kata-katanya. Luna mengakui dia sudah hampir menyukai Zasmond hanya hatinya takut untuk menerima sepenuhnya lelaki kedua dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment